VISIT KUALA LUMPUR @ RM299 (USD70 / GROUP)

VISIT KUALA LUMPUR @ RM299 (USD70 / GROUP)
VISIT KUALA LUMPUR @ RM299 (USD70 / GROUP) - click picture for more details

Ahad, 8 Mac 2009

PPSMI: Tindakan Bijak oleh Kerajaan?

Sumber: [Wikipedia]

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003. Sehingga 16 Februari 2009, menurut Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Hussein, status pelaksanaan dasar ini masih lagi di peringkat penelitian.

Sejarah perlaksanaan

PPSMI telah termaktub sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia, ia dilaksanakan secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah. Pelaksanaan penuh PPSMI ialah pada tahun 2007 untuk peringkat Sekolah Menengah sementara peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.

Objektif

Menurut penerangan mengenai dasar PPSMI di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia:

"Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi."

Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.

Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr Mahathir berpendapat bahawa Malaysia makin ketinggalan dalam arus globalisasi, dan diharapkan dasar ini memberi kelebihan kompetitif kepada negara, mencontohi kejayaan Singapura dan India yang semakin melangkah ke depan kerana kebiasaan dengan bahasa Inggeris.

Pelaksanaan

PPSMI dilaksanakan kepada masukan pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun persekolahan 2003; pelajar-pelajar lain pula tidak terlibat, sebaliknya meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa perantara lama. Bahan-bahan pembelajaran PPSMI berbentuk pakej yang terdiri daripada komponen-komponen berikut:

  1. Buku Teks (Textbook): Buku Teks disediakan untuk murid sebagai sumber asas mendapatkan pengetahuan tentang konsep dan kemahiran dalam pembelajaran sains dan matematik.
  2. Buku Latihan dan Aktiviti (Activity Book): Buku Latihan dan Aktiviti (BLA) disediakan untuk murid bagi mengukuhkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran sains dan matematik yang telah dipelajari daripada buku teks. BLA membekalkan soalan latihan dan aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh murid. BLA adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik Tahap Satu sahaja.
  3. Buku Panduan Guru (Teacher's Guide): Buku Panduan Guru disediakan untuk guru sebagai sumber rujukan dan panduan supaya memudahkan guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Buku panduan ini juga membantu guru mengemaskini dan meningkatkan pengetahuan sains dan matematik serta merangsang kreativiti guru dalam P&P. Buku Panduan Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Dua serta Pakej Buku Teks Matematik Tahun Satu.
  4. MyCD (Pupil's CD-ROM): MyCD ialah CD-ROM untuk murid yang bertujuan mengukuhkan kefahaman murid berkaitan konsep sains dan matematik yang telah mereka pelajari melalui persembahan multimedia. Kandungan MyCD adalah Latihan dan Aktiviti secara interaktif, permainan, simulasi dan e-ujian.
  5. CD-ROM Guru (Teacher's CD-ROM): CD-ROM Guru bertujuan membantu guru dalam merancang dan melaksanakan P&P sains dan matematik. Antara kandungan di dalam CD-ROM Guru ialah strategi P&P, bank soalan, aktiviti tambahan dan senarai URL yang relevan dengan pendidikan sains dan matematik. CD-ROM Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Satu sahaja.
  6. Buku Amali Sains (Science Practical Book): Buku Amali Sains diterbitkan untuk memastikan mata pelajaran Sains diajar secara amali dan bukan hanya secara teori. Selain itu, daya pemikiran dan kreativiti murid dapat dikembangkan melalui amali serta menimbulkan minat murid terhadap Sains. Buku Amali Sains adalah komponen Pakej Buku Teks Sains untuk Tahap Dua sahaja.
  7. Buku Glosari: Buku Glosari Sains dan Matematik adalah bahan rujukan guru dan murid untuk mengenal sesuatu istilah melalui definisi dan penggunaan istilah tersebut dengan lebih tepat.
  8. Bagi perlaksanaan pada sekolah-sekolah jenis kebangsaan (Cina) setelah bantahan dibuat oleh Dong Jiao Zong satu kompromi oleh Majlis Tertinggi Barisan Nasional, satu formula “2-4-3” telah dilaksanakan mulai tahun 2003 untuk Tahap I dengan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Cina secara serentak dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala bagi Tahap II, formula “6-2-3-2” telah dilaksanakan mulai tahun 2006 untuk tujuan tersebut.

Hasil dan reaksi

Sejak pelaksanaannya lagi, PPSMI banyak menghadapi pembidasan dan tentangan berkenaan idea dan pelaksanaannya dari pelbagai pihak termasuk ahli politik, akademik, ibu bapa dan pelajar sendiri. Antara isu-isu yang diketengahkan pihak-pihak tersebut termasuklah kesukaran murid-murid mengikuti pelajaran dan guru-guru menyesuaikan diri kepada perubahan bahasa perantara, serta kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid-murid, terutama di peringkat sekolah rendah.

Sokongan terhadap perlaksanaannya juga bergantung kepada bahasa ibunda/harian yang digunakan. Dengan itu pembaca akhbar Inggeris yang cenderung menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan harian menyokong perlaksanaannya, sementara pembaca akhbar berbahasa Melayu yang bahasa ibunda bahasa Melayu cenderung membantah perlaksanaannya.

Prestasi akademik

Peperiksaan

Pada tahun 2007, kelompok pelajar sekolah menengah pertama yang melalui PPSMI mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Keputusan rasmi memperlihatkan peningkatan, khususnya bagi mata pelajaran berkenaan ilmu sains dan matematik. Menurut pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Ramlan Sariman:

"mata pelajaran Biologi menunjukkan peningkatan kelulusan sebanyak 4.87% (91.45%-96.32%), Matematik Tambahan 6.81% (68.61%-74.76%), Fizik 8.76% (94.87%-97.63%), Matematik 1.04% (77.61%-78.65%) dan Sains Tambahan 4.29% (86.25%-90.54%), sekaligus membuktikan bahawa bahasa perantara bukan penghalang dalam kejayaan dalam pelajaran peringkat menengah."

Pada tahun 2008, 518,616 pelajar sekolah rendah perintis PPSMI menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Para pelajar diberi pilihan menjawab soalan Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina atau Tamil atau lebih dari satu bahasa tersebut. Pada 13 November, keputusan rasmi dilaporkan mencatatkan hasil yang menggalakkan dari segi penggunaan Bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik. Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Alimuddin Mohd Dom dilaporkan berkata:

"159,234 orang murid (31% dari keseluruhan pelajar) menjawab kertas Sains dalam bahasa Inggeris sementara untuk kerta Matematik, bilangannya adalah 238,153 orang (46%). Walau bagaimanapun, keputusan ini dipertikaikan oleh sesetengah pihak. "

Menurut Presiden Kesatuan Guru-guru Semenanjung Malaysia, Mohd Sabri Mohd Arshad,

"sebanyak 31.1 peratus murid-murid yang menguasai pembelajaran itu khususnya subjek sains ataupun matematik adalah dari kalangan mereka yang tinggal di bandar dan mempunyai latar belakang keluarga berpendidikan. Mereka yang tinggal di luar bandar masih lagi menggunakan bahasa ibunda, maka memberi kesan kepada jurang perbezaan yang jauh, di samping menggesa kerajaan memperkasakan Bahasa Inggeris itu sendiri dengan menambahkan waktu pembelajaran selaras dengan subjek bahasa lain."

Kaji selidik akademik

Kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007): Kajian antarabangsa yang dinamakan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007)[9] dibuat oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat. Kajian penting ini mengenai pencapaian matematik dan sains (pelajar Gred 8 atau Tingkatan 2) yang membabitkan 59 negara termasuk Malaysia pada tahun 2007.

Hasil kajian menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam matematik dan sains merosot dengan ketara. Skor matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata. Skor sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.

Kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi matematik dan 40 mata bagi sains adalah besar, mengikut laporan itu dan terbesar sekali di kalangan 59 negara itu. Antara hasil kajian, didapati hanya dua peratus pelajar Malaysia tergolong dalam kategori Advanced Benchmark Matematik dalam TIMSS 2007 berbanding enam peratus pada 2003.

Bagi kategori Highbench Mark (skor 550), peratus dalam kategori ini merosot kepada 18 peratus pada 2007 daripada 30 peratus pada 2003. Dalam Intermediate Benchmark (skor 475) pula merosot daripada 71 peratus dalam 2003 kepada 50 peratus bagi 2007. Penurunan Malaysia adalah paling ketara berbanding negara lain.

Berdasarkan perbandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia dalam ketiga-tiga kategori matematik juga merosot. Dalam kategori Advanced Benchmark Mathematics TIMSS 2007, hanya dua peratus pelajar Malaysia berada dalam kategori ini berbanding Taiwan (45 peratus), Korea (40 peratus), Singapura (40 peratus), Jepun (26 peratus), Hungary (10 peratus), England dan Russia (lapan peratus), Amerika Syarikat (enam peratus) dan Serbia (lima peratus).

Dalam kategori 'High Benchmark 550' Matematik, hanya 18 peratus pelajar Malaysia tergolong kategori ini, berbanding Taiwan dan Korea (71 peratus), Singapura (70 peratus), Jepun (61 peratus) England (35 peratus), Hungary 36 (peratus), Russia (33 peratus), Amerika Syarikat (31 peratus), Australia dan Serbia (24 peratus) dan Romania (20 peratus).

Secara bandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia yang tergolong dalam ketiga-tiga kategori pencapaian sains juga merosot secara mendadak.

Laporan TIMSS mengenai faktor yang dikaitkan dengan pencapaian matematik dan sains ialah di kebanyakan negara mendapati pelajar belajar matematik dan sains dalam bahasa keluarga (home language) puratanya lebih tinggi pencapaian ujian TIMSS berbanding pelajar yang belajar kedua-dua mata pelajaran ini dalam bukan bahasa keluarga atau bahasa kedua/asing.

Hasil kajian TIMSS ini menunjukkan wujud hubungan rapat antara proses pembelajaran matematik dan sains dalam bahasa asing, selain bahasa ibunda dengan kelemahan dalam prestasi subjek berkenaan. Semua negara dalam kajian TIMSS 2007 yang pelajarnya mengguna bahasa keluarga dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah seperti Taiwan, Korea, Jepun, Singapura, England dan Romania mencapai skor yang tinggi.

Kajian UPSI:

Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris menerbitkan hasil kajian mengenai kesan dasar PPSMI pada April 2008, berasaskan tiga kali tinjauan soal selidik dan ujian terhadap murid-murid Tahun Lima, iaitu pada bulan-bulan Februari 2007 (sampel bersaiz 1564 orang) dari 27 buah sekolah rendah; Julai 2007 (636 orang) dari 13 buah sekolah; dan Januari 2008 (1703 orang) dari 28 buah sekolah. Menurut abstrak kajian tersebut:

"Lebih 80% murid menyatakan yang guru Matematik dan Sains mereka mengguna campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata pelajaran ini. Purata lebih 70% murid menyatakan mereka ‘tidak faham/kurang faham’ pengajaran guru Matematik dan dan 80% Sains dalam Bahasa Inggeris, dan mereka ‘sukar/agak sukar’ mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini.

Prestasi murid dalam Ujian Matematik dan Sains rendah, terutama item-item yang memerlukan murid membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan ‘menyelesaikan masalah’. Bagi kohort Januari 2008 skor min Matematik 7.89 daripada skor maksimum 20.0; dan skor min Sains hanya 4.08 daripada maksimum 14.00. Skor min Bahasa Inggeris juga rendah iaitu 11.87 daripada skor maksimum 31.0.

Kelemahan ini nyata sekali di kalangan murid Melayu dan murid Orang Asli, berbanding murid Cina dan India. … Dapatan dari kajian-kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai, bahkan negatif: ia menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan terlalu sedikit meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris pelajar."


Kajian ini turut menerima bidasan oleh sesetengah pihak kerana kajiannya yang tidak kurang kepincangannya. Antara kelemahan utama yang ditekankan adalah:

"kelemahan guru berbahasa Inggeris dikaitkan dengan kegagalan dasar padahal ini masih boleh dibaiki; kekurangan analisa statistik dalam data yang memerlukan sampel terlibat dibahagi mengikut latar belakang sekolah dan murid; ketiadaan kelompok kawalan sebagai alat perbandingan statistik untuk mengukuhkan hujahnya, memandangkan semua sekolah mengajar dalam bahasa Inggeris; perbandingan hasil soalan berbahasa Inggeris dan soalan berbahasa Malaysia, yang mana hanya 37.3% menjawab soalan berbahasa Malaysia berkenaan dengan betul berbanding 39.6% yang menepati soalan berbahasa Inggeris itu, menjadikan hasil kajian ini seolah-olah tidak menyokong dengan sebaiknya saranan kajian ini agar memansuhkan dasar ini."

Reaksi dari bidang pendidikan

Kesan negatif

Menurut satu memorandum yang dikarang bersama oleh sebelas pertubuhan pendidikan sekitar hujung tahun 2007, dinyatakan bahawa kajian-kajian telah dijalankan untuk membuktikan bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris; formula-formula "2-4-3" dan "6-2-3-2" bagi SJK(C) bukan sahaja menjejaskan pembelajaran Sains dan Matematik, bahkan juga bahasa Cina di kalangan murid-murid; Persatuan Pendidikan Tamil juga meluahkan kebimbangan murid-murid SJK(T) yang kebanyakannya berasal dari keluarga miskin turut akan menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris, sekaligus memburukkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat India kerana anak-anak sukar disalurkan ilmu untuk menaikkan taraf hidup masyarakat mereka.

Bahasa setempat lebih sesuai

Malah, memorandum tersebut turut menyentuh satu laporan kajian UNESCO yang turut menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih sesuai diajar dalam bahasa setempat. Laporan berkenaan bertajuk Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries ditulis oleh Santosh Mehrotra pada tahun 1998. Mehrotra menegaskan kepentingan mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantara dalam buku yang dikarangnya bersama Enrique Delamonica bertajuk Eliminating Human Poverty: Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth yang mencatatkan pemerhatian terhadap persada pendidikan di benua Asia Selatan dan Afrika sub-Sahara, di mana adalah didapati bahawa jika bahasa perantara bukan bahasa ibunda, lebih-lebih lagi jika ibu bapa pelajar itu buta huruf, maka bertambah buruklah masalah belajar dalam persekitaran yang dikelilingi kemiskinan, diiringi kemungkinan keciciran bertambah.


Dasar memihak kepada keluarga di bandar

Bill Templer, seorang pensyarah kanan yang melawat di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, berhujah dalam satu surat kepada akhbar, bahawa dasar ini berat sebelah kepada anak-anak keluarga bandar yang berpendapatan tinggi, sambil meluaskan lagi jurang antara yang kaya dan miskin, baik di bandar mahupun di luar bandar, malahan boleh juga menjejaskan pemahaman konsep sains dan matematik kepada murid-murid biasa kerana mereka tidak mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka.

Reaksi dari ahli politik

Pendukung

Perbahasan mengenai dasar PPSMI tidak terlepas pandangan ahli politik, baik pihak pembangkang mahupun pemerintah. Antara ahli politik yang mendukung dasar PPSMI ialah Mukhriz Mahathir, anak kepada pencadang dasar itu sendiri. Beliau pernah menyatakan bahawa tujuan mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukanlah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, sebaliknya memudahkan rakyat mencapai pengetahuan yang bernilai dalam bidang sains dan matematik melalui pengetahuan bahasa Inggeris.

Penentang

Pada April 2008, pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata

"Pakatan Rakyat tetap tidak akan bertolak ansur mengenai kedudukan bahasa kebangsaan dan lain-lain hal yang telah diputuskan melalui Perlembagaan Persekutuan sebelum ini, danpimpinan mestilah serius dalam usaha meletakkan semula bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik."

Anwar mengulangi ikrar beliau untuk mengembalikan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda sewaktu parti campuran Pakatan Rakyat pimpinan beliau menerima memorandum membantah PPSMI dari Gerakan Mansuhkan PPSMI di Kuala Terengganu pada 15 Januari 2009.

YB Khairy Jamaluddin, naib ketua Pemuda UMNO, turut menggesa agar dikembalikan bahasa kebangsaan sebagai perantara mata pelajaran Sains dan Matematik. Katanya,

"(Berdasarkan maklum balas akar umbi) bahasa Inggeris jadi tembok penghadang untuk fahami sains dan matematik. Guru pun ada masalah untuk mengajar, bukan sahaja lidah tergeliat, proses pengajaran juga terencat. Saya takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran."

Tambahnya lagi, cara terbaik bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan memantapkan teknik pengajaran subjek itu secara menyeluruh, antara lain dengan memperkenalkan pelajaran sastera bahasa Inggeris di sekolah.

Gerakan Mansuhkan PPSMI

Sekitar akhir tahun 2008 dan awal tahun 2009, bangkitnya sebuah pergerakan bergelar Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang matlamat utamanya adalah memastikan dasar PPSMI dimansuhkan secepat mungkin. Gerakan yang asalnya dikenali sebagai "Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu" ini dipimpin Datuk Dr Hassan Ahmad, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun kelihatan erat dengan Pakatan Rakyat, GMP menolak tanggapan bahawa mereka menyokong parti campuran tersebut, apatah lagi ada juga beberapa ahli politik Barisan Nasional yang menyokong perjuangan mereka, misalnya Datuk Puad Zarkashi dari UMNO.

GMP mengadakan tunjuk perasaan pertama mereka di ibu kota, di perkarangan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 31 Januari 2009, yang dihadiri oleh tokoh-tokoh berkenaan bahasa seperti Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, penyair Dinsman dan Pyanhabib, ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar, aktivis teater Khalid Salleh, serta ahli-ahli politik Tian Chua, Shamsul Iskandar Md Akin, dan Kamaruzzaman Mohamad, dan juga pejuang bahasa-bahasa Cina dan India seperti Yayasan Tamil Malaysia dan Dong Jiao Zong.

GMP bakal menganjurkan perhimpunan membantah PPSMI secara besar-besaran pada 7 Mac akan datang, di mana mereka dijangka menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon campur tangan baginda dalam menyelesaikan isu PPSMI.

Perjuangan GMP turut dibantu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang cuba mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana melaksanakan dasar PPSMI yang didakwa mereka sebagai mencabuli Perkara 152 Perlembagaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi., di samping dilaporkan merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan bergelar "Keranda 152", sempena dakwaan PPSMI tersebut pada bulan Februari.

Akan tetapi pada 15 Februari 2009, tunjuk perasaan "Keranda 152" itu tidak menjadi kenyataan, akhirnya mereka membuat laporan polis berhubung pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di Balai Polis Brickfields, Kuala Lumpur yang diiringi kira-kira 20 tokoh bahasa dan diketuai oleh Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussin dan berkata, laporan tersebut merupakan proses pertama Gapena menggunakan saluran itu.


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut kuat membangkang dasar PPSMI. Pada 18 Februari 2009, PKPIM mengikut jejak Gapena membuat laporan polis yang seumpamanya terhadap kerajaan di Balai Polis Gombak, Selangor.

Sudut perundangan

Bercanggah dengan perlembagaan

Menurut bekas pengerusi MAS, Tan Sri Dato' Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains tidak sah di sisi undang-undang kerana bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996 dan dengan sendirinya bercanggah dengan kehendak dan tujuan Artikel 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Malaysia.[31] Kenyataan ini disokong oleh ramai penulis muda Malaysia seperti Faisal Tehrani dan lain-lain.

Masa hadapan

Sepanjang separuh kedua tahun 2008, Kementerian Pelajaran telah mengadakan lima sesi persidangan meja bulat di kalangan ahli-ahli akademik, persatuan ibu bapa dan guru, kesatuan perguruan dan pertubuhan bukan kerajaan, untuk mengkaji semula dasar PPSMI dan dijangka mengambil keputusan terhadap PPSMI pada hujung tahun, berdasarkan keputusan UPSR dan faktor-faktor lain. Di sidang terakhir pada bulan Disember, usul-usul yang dikemukakan para hadirin persidangan dikumpul menjadi tujuh pilihan berkenaan nasib dasar ini, iaitu:

  1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada;
  2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah;
  3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah;
  4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah;
  5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah;
  6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah; dan
  7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain.

Pada 8 Januari 2009, Datuk Hishamuddin berkata keputusan muktamad mengenai nasib PPSMI hanya akan dicapai pada "tahun hadapan", walaupun hampir selesai mengkaji segala maklum balas yang dikumpul.





Layan........


13 ulasan:

Hazhari Ismail berkata...

pjgnye...

kan senang kalo tulis mcm bese..

*klik di sini

aduuhhh

Tanpa Nama berkata...

hehe... memang betol kate ayie....

salam takzim dari sharol

Unknown berkata...

to aie: pnjg atau pendek, ko bkn paham pun ape yg aku tulis.

Unknown berkata...

to sharol: jgn nak bersekongkol plak. aku copy paste mcm ni sbb org payah nak jumpe wikipedia ni. lg pun ramai yg cr maklumat ikut blog. bkn laman web lain.

Hazhari Ismail berkata...

pegi kat sini.

https://www.blogger.com/comment.g?blogID=4113353642828532194&postID=4975382247024961104


lalala

Dota Melayu berkata...

kenapa komen korang takde kena mengena dgn entry kA?

Dota Melayu berkata...

=) *penambah komen
lolz

- berkata...

Salam,

1st this is just my 2 cents

IMHO... Science and Math should be teach in Bahasa Melayu@Malaysia due to 1 and only reason. Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan Malaysia.

Apa yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dalam usaha untuk meningkatan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan warga Malaysia ialah peningkatan dalam silibus Bahasa Inggeris itu sendiri.

Mungkin....gua ulang sekali lagi...mungkin, teknik mengajar Bahasa Inggeris perlu dikaji semula dan segala bahan bacaan perlu dipelbagaikan bagi menarik perhatian pelajar untuk belajar Bahasa Inggeris dari medium-medium lain selain buku teks yang membosankan.

Daripada memperuntukkan dana untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan guru Science and Math, lebih baik dana tersebut digunakan untuk melatih dan 'menaiktaraf' guru Bahasa Inggeris yang sedia ada dan menambah bilangan guru Bahasa Inggeris.

Minggu Bahasa Inggeris contohnya hanya satu aktiviti seasonal yang tidak banyak membantu peningkatankan minat pelajar (termasuk gua) terhadap Bahasa Inggeris.

Sekali lagi...ini hanya pendapat saya yang masih lagi tak brape pandai berbicara dalam kedua-dua Bahasa Kebangsaan Malaysia.

Unknown berkata...

to KF: aku bsetuju ape yg ko tulis. 110%..

tp xbermakne aku benci bahasa inggeris. aku cume syg sgt bahasa melayu kita.

spt ko ckp, mmg bnyk lg care nak tgkt BI, bkn dgn 1 care tu je. mmg tipu kalo semate2 nak tgkt BI, kita perlu PPSMI.

aku pun xtau knape perlu sgt BI tu dlm silibus Sn n Math kita.

ade cikgu ckp, PPSMI perlu sbb nak bg murid sng blajar n faham istilah Sn n Math kt U. rate2 U da pkai BI. kalo pergi luar negare pun sng.

Tp kanpe baru skarang timbul pasal ni? bkn ke tujuan asal nak tgkt penguasaan BI shj? bile da xde alasan lain, barula ckp bende ni..

mcm ko ckp, care BI tu diajar yg buat murid xseronok. xde smangat nak blajar BI sbb same je care dr drjh 1 smpi tgktn 5.

apelah dorg ni...

malay-machista berkata...

dear kayrol,
orang muda seperti kamu yang matang dalam memerikan pendapat sangat bagus utk masa depan negara dan bangsa kita. macam tu lah! writing kamu ni bermaklumat dan lengkap. cuma satu cikgu nak tambah, kajian UPSI mendapati murid cina dan india kurang menghadapi masalah dalam PPSMI. ini memang benar dik, kerana sebenarnya mereka tidakpun mengajar math dan science dalam bahasa inggeris. sekolah2 jenis kebangsaan ( Cina dan Tamil) diperuntukkan 5 waktu seminggu untuk mengajar subjek tersebut, tetapi mereka guna hanya 2 waktu untuk mengajar dalam BI. selebihnya ( ditambah dengan waktu tambahan selepas jam 1.00 ptg) mereka guna bahasa ibunda mereka. mereka juga dibekalkan buku-buku teks tambahan yang dibiayai oleh MIC dan MCA khusus untuk subjek tersebut....
jadi, kerana itu anak2 melayu ketinggalan. buku kita dalam bahasa inggeris, dan guru pula takut nak menerangkan dalam bahasa melayu bila murid tak faham.

gapodio berkata...

saya ada terbaca komen kamu di blog JASA...
cuba baca entri ini http://aksaraketiga.wordpress.com/2009/03/16/ppsmi-aku-bosan/

ini pula pendapat saya tentang ppsmi

http://gapodio.blogspot.com/2009/03/ppsmiapa-sebenarnya.html

Unknown berkata...

to malay-machista:

terima kasih cikgu krn komen. sy baru perasan komen ni..

artikel ni sy ambil dr wikipedia.org dan bukan hasil tulisan sy. mengenai kajian UPSI tu, mmg sy ambil juga dr Wikipedia..

sy mmg setuju ckp cikgu, murid2 melayu tidak dibekalkan dgn buku2 tambahan utk memudahkan pelajaran mereka. sbb tu mereka ketinggalan.. sedih tgk sokolah aliran cina dan india lebih kehadapan dr aliran kebangsaan.. nk wt mcm mane, kita mmg tak mampu ubah selagi kita x bersatu btul2..

trimas krn lawat..

Unknown berkata...

gapodio,

tq sbb lawat. sy dah ziarah link yg kamu bg...