VISIT KUALA LUMPUR @ RM299 (USD70 / GROUP)

VISIT KUALA LUMPUR @ RM299 (USD70 / GROUP)
VISIT KUALA LUMPUR @ RM299 (USD70 / GROUP) - click picture for more details

Selasa, 8 September 2009

Perayaan Hantu Lapar Hanya Mengarut dan Sengaja diada-adakan?

Hantu lapar cari mangsa

Sami anggap bakar duit waktu malam untuk tenangkan roh jahat bukan ajaran Buddha.


RITUAL yang dikatakan mampu memberi ketenangan pada roh.


Align Center
CHANG WEN - roh tidak perlukan wang.





MENGIKUT kepercayaan masyarakat Tionghua, hari ke-15 pada bulan ketujuh dalam kalendar lunar Cina, merupakan permulaan Bulan Hantu Lapar. Kononnya pada masa itu pintu neraka akan dibuka dan para hantu serta roh dipercayai keluar dari alam ghaib dan merayau-rayau pada waktu malam.

Dek pegangan turun-temurun, pada bulan itu mereka akan lebih berhati-hati dan patuh kepada pantang larang yang diperturunkan nenek moyang bagi mengelak ditimpa nasib malang.

Bukan itu sahaja, sebagai langkah pencegahan supaya tidak diganggu oleh roh dan hantu itu, sebilangan besar pengamal kepercayaan Taoist membakar duit palsu, emas, kereta dan rumah kertas sebagai persembahan kepada roh jahat atau hantu lapar.

Menurut seorang peniaga di Kuala Lumpur, Lee Hock Ming, 29, dia percaya ritual itu mampu mengurangkan kesengsaraan para hantu.

“Orang Cina percaya dunia di bawah sana sama dengan dunia yang kita tinggal sekarang.

“Selain duit, ada juga orang yang sediakan makanan dengan kerusi kosong dan menganjurkan acara-acara hiburan.

“Mereka akan menyanyi dan berjenaka bagi mengurangkan penderitaan roh,” katanya yang mula menyambut hari tersebut Ahad lalu.

Roh mangsa kemalangan

Hock Ming berkata, rakan sekolahnya sendiri pernah disampuk roh jahat pada Bulan Hantu Lapar.

“Dulu semasa saya tinggal di Perak, seorang kawan Melayu saya tiba-tiba pengsan semasa kami menghadiri kelas malam. Bila sedar, dia bercakap dalam bahasa Hokkien.

“Rupa-rupanya roh itu milik seorang lelaki Cina yang mati akibat kemalangan dan dia hendak ‘balik’ ke rumahnya.

“Roh itu turut memberitahu tempat tinggal keluarganya. Bila kawan saya selidik, keluarga itu memang ada dan salah seorang anggota keluarga itu mati akibat kemalangan beberapa bulan sebelumnya,” katanya.

Seorang sami Buddha di sebuah tokong di Petaling Jaya, Chang Wen, berkata asal-usul perayaan ini adalah daripada seorang anak murid pendeta Buddha bernama Mu Lian.

“Semasa bermeditasi, Mu Lian yang merupakan antara 10 murid terbaik Buddha telah mendapat petunjuk yang ibunya sedang sengsara di neraka.

“Menurut kisah itu, ibu Mu Lian merupakan seorang yang kedekut dan sering menghina golongan pengemis. Apabila Mu Lian mengambil keputusan untuk menjadi sami, ibunya sangat marah.

“Sebagai tanda bantahan, ibunya telah memberi Mu Lian makanan berdaging iaitu makanan yang tidak boleh dijamah oleh para sami. Kerana perbuatannya, si ibu telah diberi balasan dengan dihantar ke neraka selepas dia mati.

“Sebagai anak yang baik, Mu Lian sentiasa berdoa untuk ibunya dan doa itu telah didengari oleh Buddha. Dengan keizinan Buddha, setahun sekali pintu neraka dibuka dan roh-roh boleh kembali ke bumi untuk diberi makanan,” cerita Chang Wen.

Bukan bulan malang

Mengupas kebenaran sama ada wujud roh atau hantu jahat yang berkeliaran dan mengganggu manusia pada bulan ini, Chang memberitahu, ia sebenarnya tidak wujud.

“Perayaan untuk memperingati tarikh 15 haribulan ini telah jauh menyimpang daripada ajaran Buddha. Mungkin ia banyak dipengaruhi oleh adat resam orang Cina itu sendiri.

“Dalam ajaran Buddha, Bulan Hantu Lapar adalah bulan yang paling bahagia dan sangat diberkati. Selain roh ‘dibebaskan’, ia juga hari kemuncak para sami belajar dan berbincang mengenai agama.

“Cara terbaik memperingati para roh ini adalah dengan bersedekah dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan mereka, bukan dengan membakar kertas atau menganjurkan pesta. Itu hanya perbuatan yang membazir dan sia-sia,” jelas Chang Wen.

Tambahnya lagi, ritual yang sering dilakukan oleh kebanyakan masyarakat Tionghua itu tidak sepatutnya diamalkan.

“Jangan fikir apabila duit, rumah, kereta atau emas dibakar, roh itu akan tenang. Kehidupan mereka di alam fana tidak sama dengan kehidupan kita di sini. Mereka tidak perlukan itu semua, yang mereka mahukan ialah doa dan nikmat sedekah,” katanya.

Menyelar sesetengah orang yang suka meramalkan peristiwa malang kerap terjadi pada bulan ini, Chang Wen memberitahu, semua hari adalah baik dan tiada hari yang malang.

“Pucuk pangkalnya ialah amalan dan perbuatan kita. Ia tiada kena-mengena dengan pantang larang, hari, warna atau perkara-perkara lain. Itu adat sahaja,” kata Chang Wen.

2 ulasan:

Hazhari Ismail berkata...

kalo ka lapa? bape hari bulan smbut?

Unknown berkata...

aku tak hipokrit mcm ko.